KAJIAN TERDAHULU
Mengikut kajian yang sebelum ini dijalankan oleh New England Journal of Medicine dan Persatuan Perubatan Amerika (AMA) tiada terdapat apa-apa bukti kukuh bahawa penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan ketumbuhan dalam otak kepada penggunanya.
Tetap bertahan
Namun begitu, Angelos tetap bertahan dengan dakwaannya bahawa risiko radiasi (RFR) dari penggunaan telefon bimbit sudah diketahui oleh ahli sains sejak pertengahan tahun 1960-an.
Kata Angelos lagi, kajian sains sudah lama membuktikan bahawa antenna yang dipakai pada telefon bimbit itu boleh mendeposit atau menyampaikan radiasi (RFR) pada badan manusia, boleh menembusi tisu manusia, apatah lagi menembusi otak manusia yang sudah pasti organ manusia paling lembut dan paling sensitif.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan olehnya itu, Angelos menekankan bahawa kesemua defendan tahu tentang penemuan sains ini tetapi mereka sengaja `menyembunyikannya, meremehkan kesahihannya dan berusaha terus menolaknya’ supaya mereka boleh terus berleluasa menjual dan mendagangkan produk mereka kepada pengguna, tanpa terikat kepada (mematuhi) standard keselamatan yang sewajarnya.
Satu laporan CNN Julai 2000 lalu memetik FDA sebagai berkata bahawa kajian mengenai risiko radiasi telefon bimbit di negara itu masih belum muktamad. Manakala ada kajian yang mengatakan ada bahaya, ada pula kajian lain yang menafikannya.
Oleh itu, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan. Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, FDA menyarankan pengguna telefon bimbit untuk sentiasa menggunakan alat telinga bila menggunakan telefon.
FDA juga menasihatkan pengguna supaya menggunakan telefon bimbit untuk jangka waktu yang pendek sahaja. Andainya mereka berhasrat berbual atau berbincang panjang, gunakan telefon biasa dan jangan gunakan telefon bimbit.
MENGUKUR KADAR RADIASI
Mengikut Persatuan Industri Telekomunikasi Selular, satu cara menentukan sama ada radiasi yang dipancarkan oleh sebuah telefon bimbit itu sampai ke paras bahaya ataupun sebaliknya ialah dengan mengesan dan menentukan kadar penembusan radiasi itu (dipanggil specific absorption rate, SAR) kepada badan manusia.
Mengikut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), kadar SAR paling maksimum yang dibenarkan ialah 1.6W/kg (1.6 watt bagi setiap satu kilogram). Jika sebuah telefon bimbit itu mengeluarkan kadar radiasi yang lebih tinggi daripada kadar tersebut, ia tidak lagi dikira selamat kerana kadar radiasi yang lebih tinggi itu boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.
Alangkah baik sekali jika Kementerian Komunikasi dan Multimedia negara kita ini juga dapat mengeluarkan maklumat terperinci tentang kadar radiasi yang dipancarkan oleh beberapa jenis telefon bimbit yang ada dipasarkan di negara ini.
Dengan maklumat itu, kita boleh tahu apakah telefon bimbit yang kita miliki sekarang ini masih berada di bawah paras bahaya yang dinyatakan oleh FCC itu atau sebaliknya.
Sementara kita menunggu data sedemikian itu diumumkan oleh kerajaan kita, wajarlah sebagai langkah awalan kita gunakan alat telinga setiap kali kita berbual panjang menerusi telefon bimbit.
0 comments:
Post a Comment